"....tidak salah untuk memerhati kerana ianya dapat dijadikan pedoman buat diri dan antara kita supaya saling mengingati...namun walau apa pun,berhati-hati semasa memerhati kerana boleh jadi tindakan kita disalah erti oleh insan yang tidak mengerti..."

Tinta Pemerhati_Bebas


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, October 28, 2009

Perundangan Islam: Jangan Biarkan Ia Terus Diperlekehkan

Sumber dari:
http://www.kosmo.com.my
28 Oktober 2009 (Rabu)

ISU kedudukan institusi perundangan Islam, yang sering dilihat sebagai tidak setaraf dengan sistem sivil bukan perkara baru. Ia sudah dibangkitkan pelbagai pihak sejak sekian lama dan dari semasa ke semasa. Dari pelbagai sudut, kerajaan sudah melaksanakan banyak perubahan untuk menambah baik kedudukan institusi perundangan syariah. Bagaimanapun, mungkin kesannya belum dapat dilihat sepenuhnya menyebabkan sehingga hari ini, masih wujud tanggapan bahawa institusi perundangan Islam tidak dinobatkan ke tempat yang sewajarnya. Badan penguat kuasa agama umpamanya, dilihat masih tidak mempunyai kebebasan sepenuhnya dalam melaksanakan tanggung jawab mereka. Kedudukan mahkamah syariah pula sering dilihat sebagai 'mahkamah kelas dua' berbanding mahkamah sivil. Sama ada dari segi penguatkuasaan ataupun reaksi terhadap keputusannya, wujud kecenderungan yang menjurus kepada kedudukan mahkamah syariah seolah-olah tidak dihormati. Soal sama ada perkara itu memang benar atau sekadar tanggapan, ia memerlukan analisis terperinci. Apa yang penting ialah persepsi sedemikian masih menebal dan usaha perlu dilaksanakan untuk memperbetulkan keadaan. Satu daripada kaedah paling berkesan menjayakan usaha itu ialah dengan memastikan penguat kuasa agama dan mahkamah syariah diberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya dalam melaksanakan tanggung jawab mencegah atau melaksanakan hukuman terhadap jenayah syariah tanpa pengaruh atau tekanan luar.

Pada masa sama, langkah memperkukuhkan kewibawaan institusi perundangan Islam termasuk sistem kehakiman syariah, khususnya dari aspek kepakaran serta guna tenaga juga perlu dilaksanakan. Isu berhubung kedudukan jawatan, jumlah kakitangan dan kelulusan mereka contohnya, harus diutamakan bagi meningkatkan lagi imejnya. Pada masa sama, pemimpin politik juga perlu berperanan secara lebih proaktif dalam mempertahankan kedudukan institusi berkenaan dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mencalarkan kredibilitinya. Jika ini dapat dilakukan, nescaya penghormatan masyarakat terhadap institusi itu akan lahir dengan sendirinya. Selain itu, syor supaya kerajaan menubuhkan badan khas bagi memantau semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam juga wajar diberi pertimbangan. Ia penting bagi memastikan objektif dan perjuangan mereka sejajar serta selari dengan ajaran Islam. Pihak yang menyalahgunakan imej Islam untuk menjayakan agenda sendiri pula perlu dikenakan tindakan tegas. Secara tidak langsung badan khas itu juga dapat memastikan pertubuhan terbabit tidak mengelirukan umat Islam atau masyarakat, dengan ideologi yang menyalahi tuntutan syarak. Matlamat utama semua inisiatif ini ialah untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan semua isu yang menyentuh kepentingan umat Islam keseluruhannya serta menyemarakkan lagi syiar Islam di negara ini.

0 comments: