"....tidak salah untuk memerhati kerana ianya dapat dijadikan pedoman buat diri dan antara kita supaya saling mengingati...namun walau apa pun,berhati-hati semasa memerhati kerana boleh jadi tindakan kita disalah erti oleh insan yang tidak mengerti..."

Tinta Pemerhati_Bebas


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, February 2, 2010

Bahagia Terletak Pada Sifat Redha

Bahagia Terletak Pada Sifat Reda

Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha.
Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan redha atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun redha ke atas diri mereka dan mereka pun redha dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan redha ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita redha sebab sayang. Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat redha.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah redha. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda redha ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati. Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri. Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Redha bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi redha adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya.

Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama redha kepada Allah.

Sunday, November 8, 2009

Perhatikan Sama-sama...

Apa yang dapat anda perhatikan daripada gambar di atas?
Gambar ini dikirimkan oleh seorang kawan daripada Brunei. Buah nangka yang berupa wajah manusia ini terdapat di Thailand dan pokok nangka ini telah dipagari sebagai tempat pemujaan bagi penganut Buddha di kawasan tersebut.

Monolog Seorang Pemerhati...

Terasa saujana mata memandang. Sudah agak lama tidak keluar dari kepompong semenjak dua menjak ini.Terutama semasa minggu peperiksaan bermula. Rasa segar anak mata takkala memandang tabir alam yang begitu indah,anugerah dari pencipta alam.Alhamdulillah.

Rasa malas untuk menyeludup keluar dari bumi UKM ini cuba ditepis. Kalau tidak, alamat tidak balik kampunglah jawabnya. Sebabnya tiket balik belum dibeli lagi. Nanti kehabisan…diri sendiri pula yang merana.
Melihat cuaca yang sungguh damai dan permai ini, hati lantas dijentik rasa seronok!Nampaknya, tiada halangan.Kelmarin sudah merancang untuk keluar tetapi, apakan daya, kuasa pencipta melebihi segala-galanya.Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan pula yang melanda.

Serasanya, inilah kali pertama melakukan perjalanan keluar dari bumi UKM ini sejak 3 minggu kebelakangan ini.Hampir-hampir terlupa bagaimana arah tuju perjalanan.Jalan-jalan yang biasa dilalui kini terasa begitu asing sekali.Mungkin mata ini sudah begitu lama tidak “dijamu” dengan jalan-jalan itu.Memori jangka panjang mula terhakis agaknya.Mungkin sebab mata ini sudah lama tidak “diupdate” dengan pemandangan baru.Mungkin juga…

Perjalanan pergi menaiki komuter terasa lancer. Tiada kesesakan di dalam tren.Jadi, tak perlulah berasak-asak dengan orang ramai yang juga turut menunggu tren komuter di situ.

Namun, lain hal pula apabila tiba di stesen Kajang. Setelah hampir sejam beratur untuk mendapatkan tiket keretapi, dugaan datang tiba-tiba. Mesin tiket rosak…! Itulah yang diberitahu oleh pegawai yag bertugas di kaunter. Rasa marah, kecewa, terkilan bercampur aduk.

Hendak diluahkan kemarahan…tapi pada siapa?Logikkah diluahkan kemarahan pada mesin yang tidak tahu apa-apa?Hendak diluahkan kemarahan kepada pegawai yang bertugas?Apa rasionalnya?Mereka tidak bersalah,sebab mesin yang rosak!Jadi macam mana mereka hendak memproses tiket-tiket yang ingin dibeli oleh penumpang?Jadi, siapa yang harus dipersalahkan?Diri sendiri?Kenapa hendak salahkan diri sendiri?Bukan diri kita yang jadi mesin.Bukan diri kita yang jadi pegawai di kaunter tiket!Hmmm..salahkan diri sendiri sebab pergi beli tiket hari ini..bukan kelmarin!Kalau pergi kelmarin, mungkin mesin itu tidak rosak dan saya tidak terpaksa menunggu lama untuk membeli dua keping tiket balik kampung!Mungkin….!Tapi cukupkah dengan “mungkin” itu kita meneruskan perjalanan hidup kita ini..?

Penantian selama dua jam di stesen Kajang itu diserikan dengan pelbagai pemandangan dan ragam serta karenah manusia!Dalam kegairahan para penumpang menanti ketibaan tren yang sudah nampak dari kejauhan, mereka tiba-tiba diserang rasa hampa!Tren yang ditunggu-tunggu tiba-tiba terhenti pergerakannya.Rosak! Itulah kata pegawai di stesen.Padahal, Cuma beberapa meter sahaja hendak sampai ke stesen.Aduh!Terjentik pula rasa lucu di hati. Mungkin hari ini Hari Mesin Rosak Sedunia agaknya.Saya cuba membuat lawak dengan diri saya sendiri.sekadar menghilangkan rasa bosan menunggu.Biarlah,sekurang-kurangnya boleh menghiburkan hati dengan pelbagai imaginasi dan ilusi yang muncul dalam fikiran.Kreatif! Itu yang penting!

Suasana di kawasan stesen ibarat tebuan menghurung sarang.Berdengung dan berdendang dengan pelbagai irama.Ralit saya memerhatikan keadaan itu, hinggakan tidak terasa penantian saya untuk menunggu mesin yang rosak kembali berfungsi.

Antara sedar atau tidak,akhirnya penantian saya selama hampir dua jam setengah berakhir.Mesin sudah kembali berfungsi.Alhamdulillah,berakhir sudah suatu episode yang membosankan!Sememangnya, penantian suatu penyeksaan!

Sebaik sahaja selesai urusan di situ!Saya bergegas berlari menaiki tren yang kebetulan sampai.Alhamdulillah,ada hikmah disebaliknya.Penantian saya berbaloi rupanya.Dapat jea tiket,tren komuter terus datang!Tak perlu saya membilang detik waktu untuk menghitung bilakah tren akan sampai, kerana bayangan buku-buku yang belum dikhatam menggamit saya pulang!

Hidup ini adalah suatu perjalanan untuk meneroka misteri kehidupan.Tepat sekali bait-bait ayat itu!Perjalanan yang saya lalui hari ini menyebabkan banyak benda saya perhati dan banyak benda saya perolehi…!

Dari mata pemerhati_bebas…!
Sekadar memerhati tanpa ada niat yang tersembunyi…….

Tuesday, November 3, 2009

Pentingnya Penguasaan 3M Di Kalangan Pelajar



Laksana pelbagai kaedah P&P ikut kategori murid

IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini.

Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah.

Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya.

Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.

KAEDAH P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid.

Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah.

Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.

Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya.

Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.

Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu.

Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka.

Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.

Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu.

Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat.

Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M.

Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.

Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M.

Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran.

Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli.

Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru.

Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.

Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal.

Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius.

Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu.

Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan.

Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa.

Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

Wanita Guna Nama Lelaki Lebih Berjaya?

Sumber dari:
http://www.bharian.com.my
Rabu 4 November 2009

SINGAPURA: Apa ada pada nama? Banyak jika anda sedang mencari pekerjaan dalam bidang perundangan terutama apabila satu kajian di Amerika Syarikat mendapati wanita yang mempunyai nama lelaki didapati lebih berjaya sebagai peguam dan hakim, berbanding mereka dengan nama tradisi dan kewanitaan.

Kajian berkenaan yang diketuai pakar ekonomi Bentley Coffey dari Universiti Clemson, Carolina Selatan, melihat kaitan antara kejayaan seseorang dalam kerjaya perundangan yang akhirnya boleh menjadi hakim dan sejauh mana nama mereka dipandang sebagai ‘maskulin’ atau berunsur kelelakian.

Kajian itu mendapati, wanita yang bernama ‘Cameron’ adalah tiga kali berkemungkinan menjadi hakim berbanding wanita bernama ‘Sue’ manakala wanita bernama ‘Bruce’ pula lima kali lebih kemungkinannya menduduki jawatan itu.

“Walaupun wanita meliputi hampir separuh bilangan pelajar yang menjadi graduan kajian undang-undang dalam tempoh 15 tahun lalu, profesion perundangan masih kekal sebagai satu bidang yang dikuasai lelaki,” kata Coffey.

Menurut kajian itu lagi, ‘peguam wanita pertama di Carolina Selatan mempunyai nama maskulin dan hari ini ramai peguam wanita percaya bahawa perkara itu penting.

Ia turut menyenaraikan faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan wanita dengan nama lelaki dalam kerjaya mereka termasuk sebilangan kecil wanita di firma guaman di beberapa tempat di Amerika selain lebih ramai pengundi lebih suka pada lelaki berbanding wanita apabila memilih calon untuk memegang jawatan perundangan.

“Juri, pelanggan, ketua, profesor, ahli Parlimen, mungkin merasa lebih selesa dengan wanita bernama George berbanding yang bernama Barbara,” menurut kajian berkenaan.

Coffey memberitahu agensi berita bahawa kajiannya juga memberi kesan kepada dirinya secara peribadi apabila beliau memberi salah seorang daripada anak perempuan kembarnya dengan nama berunsur lelaki dan seorang lagi pula diberi nama tradisi kewanitaan. - Reuters

Thursday, October 29, 2009

Detik Terakhir Insan Termulia

Detik-detik Terakhir Kehidupan Insan Mulia aripada Ibnu Mas'ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra.

Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda:Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.

Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.

Kemudian kami bertanya: Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyilaa.

Kami bertanya lagi: Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?

Baginda menjawab: Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.

Kami bertanya: Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami? Kami menangis dan Rasulullah SAW pun turut menangis.

Kemudian baginda bersabda: Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.

Semakin Tenat

Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir.

Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya Rasulullah? Kemudian ia berkata lagi Assolah yarhamukallah.

Fatimah menjawab: Rasulullah dalam keadaan sakit? Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk.

Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: Saya sekarang dalam keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.

Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku? Kemudian ia memasuki masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.

Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka.

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: Ya ma'aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini.. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.

Malaikat Maut Datang Bertamu

Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Ia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah SAW, Malaikat Maut itupun berkata: Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah! Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.

Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk? Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah menjawab:Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.

Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu siapakah dia? Fatimah menjawab: Tidak wahai baginda. Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: Wahai Fatimah, ia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Masuklah, Wahai Malaikat Maut. Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan Assalamualaika ya Rasulullah. Rasulullah SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?

Malaikat Maut menjawab: Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang.

Rasulullah SAW bertanya: Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? Saya tinggal ia di langit dunia.. Jawab Malaikat Maut.

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril as datang kemudian duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai kekasih Allah.

Ketika Sakaratul Maut

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.

Baginda SAW bersabda: Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.

Baginda SAW bersabda lagi: Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?

Jibril as bertanya: Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan? Rasulullah SAW menjawab: Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?

Jibril menjawab: Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.

Maka berkatalah Rasulullah SAW: Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku? Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah SAW.


Ali ra bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya? Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.

Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.

Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya: Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut? Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW.

Kesedihan Sahabat

Berkata Anas ra: Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa'ir.

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu'az bin Jabal ra telah berkata: Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku: Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah.

Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: nauzubillahi minasy syaitannir rajim?Setelah itu ia lalu mengerjakan solat.

Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Muaz berkata: Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan? Kemudian ia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.

Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Muaz berkata kepada mereka: Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula
(Az-Zumar: 30).

Maka menjeritlah Muaz, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali, ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi:

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?
(Ali-lmran: 144)

Maka Muaz pun menjerit lagi: Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad.. Kemudian ia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan penduduk Yaman, ia berkata: Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala.

Kemudian ia berkata: Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW?Lalu iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:

setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.

Lalu Muaz mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut: Bagaimana khabar Rasulullah SAW? Orang tersebut menjawab: Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia. Mendengar ucapan itu Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Muaz: Wahai Muaz sedarlah dan bangunlah.

Ketika Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW. Tatkala Muaz melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu.

Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah.
Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah? Muaz menyambungnya: wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah. Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.

Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia berkata kepada Bilal: Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya, ia adalah Muaz yang sedang pengsan.

Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Muaz, lalu ia berkata: Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz.

Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir, kemudian ia berkata: Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra.

Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan: Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh? Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah. Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: Assalamualaikum ya ahli bait.

Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW.

Kemudian Fatimah berkata lagi: Masuklah wahai Muaz.Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama..

Kemudian Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah SAW...

Wednesday, October 28, 2009

Jika Allah Maha Baik.Kenapa Ada Neraka?

Sumber dari:
http://lembahbujang.blogspot.com

Ini kisah benar..

kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Assalamu'alaikum. "